1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah
Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat
terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.
2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.
3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan,
dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan
dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.
4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang
lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk
membunuh.
5. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal
peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan
siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul
“merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia.
Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.
6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang
berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang
jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah
pembohongan.
7. Kononnya aset 1MDB berjumlah 52 billion sedangkan hutang hanya 42
billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa
untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa hutang dari Ananda
Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang. Kenapa wang
Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?
8. Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik.
Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Di mana
pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini tidak diguna untuk
bayar faedah 2 billion.
9. Kononnya disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal
simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya
disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara punca
wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai penuh oleh
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
10. Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada
berkata asetnya besar. Soal harga tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB
tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan
dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi Kerajaan rugi
banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencermin
harga pasaran.
11. US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah
ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di
Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak.
12. Jho Low dilapor dalam New York Times, London Times dan Sarawak
Report terlibat dalam pengurusan berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa
dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Sri Najib. Pegawai
Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho
Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato
Sri Najib.
13. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda
serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang
ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New York dan Hollywood
beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri
Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana kononnya
Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya
lebih tinggi.
14. Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak
dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini
adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall
Street” oleh Riza datang dari mana?
15. Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh
oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang
tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya
bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat
memalukan negara.
16. Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang
besar dan terpaksa hutang, Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri
membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang
sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan
peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.
17. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat
terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai Ringgit yang
menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat
dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit, Kerajaan membazirkan
wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada
pesawat-pesawat milik Kerajaan.
18. Cara pembelian tidak dapat menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan
terpaksa menanggung beban pembelian ini. Jika syarikat bukan Kerajaan
yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease (sewa) lebih tinggi
daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan
kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.
19. Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib
terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu
dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan
orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak
pemerintahan Najib.
20. Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum
Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli
UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan
kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO
kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat
ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali
UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.
21. Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli
kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada
parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya
menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan Negara saya terpaksa dedah
semua ini.
22. Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.
23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.